Saturday, April 5, 2014

Cameron Highland : 3 hari 2 malam

22, 23 & 24 Mac 2014

Day 1

Musim cuti sekolah datang lagi. Ada jugak terfikir idea nak pegi Langkawi, tapi musim sekarang ni panas bukan main. Mau terbakar dan hitam legam kalau pegi sana. Terus dapat idea pegi  Cameron Highland. Tak kisah ulang berapa kali, apa yang penting sejuk !!!

So sampai aje masanya hari Sabtu pagi-pagi lagi terus bertolak dari Manjung. Aku harap taktik kali ni berjaya macam yang lepas-lepas sebab setakat ni pegi Cameron Highland kalau mula awal pagi memang terselamat dari heavy traffic jam. Sebelum tu kasi tapau dulu nasi lemak mega.

Memang lega, perjalanan lancar sampailah ke atas. Kami berenti singgah untuk sarapan kat medan selera area Kea Farm. Suasana memang sejuk macam sebelum ni. So orang yang selalu sebut Cameron dah tak sejuk lagi macam dulu tu tak betullah. Elok je sejuk dan nyaman bagi kami.

Kat medan selera ni memang order air jelah dan makan nasi lemak yang kami tapau tadi. Terasa lebih sedap makan nasi lemak sejuk-sejuk macam ni.

Destinasi pertama sebelum check in hotel adalah Boh Tea Farm Sungai Palas kat Brinchang. Sebelum ni asyik ke Teh Bharat memanjang, jadi kali ni nak tukar angin pulak. Jalan nak masuk ke sini dari main road agak sempit dan berliku-liku. Kena hati-hati sikit.

Cuaca masa ni sungguh baik dan langit kebiru biruan.





View kat sini nyata lebih indah dari Ladang Teh Bharat

Lepas abis tempat ni kami ke S'Corner kejap. Tengok-tengok apa yang menarik kat sini. Sempatlah menghirup sup cendawan yang sangat fresh dan sedap serta makan scone.


Cendawan kat S'corner ni macam-macam kaler ada


Habis S'Corner terus kami menuju Tanah Rata pergi beli bungkus makanan tengahari sebelum check in di Cool Point Hotel. Untuk 4 bedroom, harganya RM200 semalam.  Luas dan selesa biliknya.


Jenuh berehat, sebelah petangnya kami ke Big Red Strawberry Farm di Brinchang. Suspen jugak nak naik ke tempat parkingnya yang curam ni sebab parking kat bawah dah penuh jadi kena naik sampai atas sekali.

Tapi tempat ni memang best dan agak cantik. Dapatlah anak-anak aku makan aiskrim dan strawberry cream walaupun terpaksa berbaris lama sebab terlalu ramai orang kat cafe ni.


Menu kat Big Red


Samosa dia boleh tahan sedap

Salad yang sungguh segar... sayangnya tak dapat nak beli sebab ada lagi 2 hari sebelum balik, mana mau simpan



Mandrake Harry Potter pun ada kat sini

Tak habis lagi, balik dari Big Red singgah pasar malam pulak. Tapi kali ni memang ada heavy traffic jam. Sampai ada bau hangit. Berdebar jugak aku ingatkan kereta aku, rupanya kereta kancil kat depan dah terbakar enjinnya.

Pasar malam Brinchang ni memang penuh dengan orang. Nasib baiklah sejuk jadi taklah kisah bersesak-sesak sangat. Janji dapat beli macam-macam makanan untuk makan malam nanti.  

Akan tetapi rasa semua makanan yang aku beli kat sini sendu habis walaupun nampak sedap masa beli tu. Huhuhu.


Nasib baik ada kek besday aku yang sedap ni

Day 2

Hari ni aktiviti mula lambat sikit. Maklumlah semalam banyak aktiviti jadi semua orang letih tambah-tambah sejuk macam ni lagi bestlah nak sambung tidur dan santai-santai. 

Lepas check out kami pusing-pusing ke Taman Sedia, tengok suasana termasuk chalet-chalet yang ada kat sini. Lepas tu lajak ke Hutan Lipur Parit Fall pulak. Takde apa sangat kat sini. 


Balik dari situ depa ajak pegi makan tengahari kat Marry Brown Tanah Rata. Aku dengan Nora memang suka makan mee kari dia. 

Memang bestlah makan kat bahagian luar restoran  dalam keadaan yang nyaman ni.



Habis makan kami check in dulu di Arundina Hotel. Saja ambik hotel lain untuk malam ni sebab nak rasa suasana berbeza pulak. Sewanya pun sama RM200 semalam. Hotel ni dekat aje dengan Cool Point tadi. 

Cantik suasana kat luar hotel ni dengan bunga-bungaan. Biliknya pun baru dan suasana ceria.


Boleh tahan Arundina Hotel ni cuma  biliknya lebih kecik dari semalam. Hotel ni memang senyap sunyi, boleh dikatakan penginapnya semua mat saleh kecuali ada lagi satu family melayu yang aku perasan. Kalau aku ambik yang ada balkoni punya mesti lagi best tapi sure lagi mahal.

View dari tingkap bilik hotel

Petang tu pusing-pusing ke Cactus Point melihat-lihat apa yang ada. Penuh dengan kaktus pelbagai warna yang cantik-cantik... tapi kami tak beli apa pun.




Selain kaktus, macam-macam pokok lain pun ada termasuk strawberry

Next kami ke Royal Berry. Asalnya nak tengok-tengok aje. Sekali nampak self-plucking RM35 sekilo. Murahnya, jangan lepaskan peluang. Biasanya RM50 sekilo tak silap aku. Ownernya pun melayu.

Seronok petik sendiri macam ni... walaupun buah-buah strawberry kat sini kecik sikit, ada aku kisah. Janji enjoy. Lagipun bila makan dengan coklat, rasanya sama aje pun. Benda-benda lain pun murah. Scone pun RM1 je. Mana dapat kat tempat lain.   









Balik dari Royal Berry kami terus singgah kat Steamboat Snack Corner di sebelah Hotel De La Fern. Apa lagi nak makan steamboat kat sini lah. Famous tempat ni. Yelah kat mana lagi tempat makan steamboat yang tak de air cond tapi rasa sejuk. Special tu.

Masuk dalam aje tengok meja banyak dah kena booking. Tanya staff dia, ada kosong ke tak, dia jawab dah penuh, cuma ada satu meja kecik kat hujung, macam sedih aje meja tu. Pusing-pusing, rupanya ada lagi meja besar dan masih kosong yang terakhir. Memang rezekilah.

Elok kami duduk sekejap aje datang lagi beberapa orang, tapi pulang kecewa sebab meja dah penuh. Rupanya nak selamat kena booking siap-siap.

Pasar Malam Brinchang yang sesak


 
Set yang kami order untuk sekeluarga ni harganya rm46. Memang agak banyak sampai kami 4 orang pun tak mampu nak habiskan walaupun sedap. Selain tu ada tambah sepinggan nasi goreng. 



Abis makan steamboat terus balik ke bilik. Dalam pada tu sempat lagi depa ni nak beli buah mata kucing dan buah tampoi kat Tanah Rata. Bukan apa, nak mengembalikan kenangan makan buah mata kucing tersedap pernah kami rasa di sini dalam lawatan beberapa tahun lepas. Walaupun tak dapat buah yang sama kira ok lah.


Day 3

Alamak dah nak kena balik. Kalau boleh nak aje tinggal kat sini lagi. Tapi kena jugak jimatkan cuti, lagipun masih awal tahun nih.

Pagi pagi kami dah check out dari hotel untuk menjimatkan masa. Lepas tu terus pegi makan pagi kat nasi lemak kukus ayam berempah kat gerai berhampiran. Memang terbaik ayam berempah akak ni, besar pulak tu.

Bunga Dahlia kat Arundina

Depan Hotel

Perut pun dah kenyang terus kami menuju ke MARDI. Entry untuk 4 orang RM9. Tempat favourite ni. Sayangnya tempat ni macam agak merosot sikit dan kurang terjaga. Pokok-pokok sayur tak macam dulu, dah berkurangan.

 
 Mardi

Bestlah tengok buah tomato ni







Selesai Mardi kami teruskan perjalanan pulang. Jalan memang jam melekat. Tapi sempat lagi singgah sekejap beli sayur-sayuran kat Rose Valley. Sebelum ni selalu singgah kat Kea Farm, tapi aku tak berapa suka tempat ni sebab susah dapat parking dan polis pun asyik nak menghalau orang aje. Beli kat Rose Valley ni lagi selesa. Harga pun murah jugak sebab aku tengok bukan main rajin lagi wife aku nego dengan penjual sayur ni.

Tempat berikutnya dalam perjalanan balik adalah Lavender Garden. Kami sekeluarga teruja nak ke sini bila tengok drama "Jika itu Takdirku" yang ada gambar tempat ni. Entrynya RM18 untuk kami berempat.

Memang cantik tempat ni, tapi takde lah peluang nak masuk dalam pokok-pokok bunga macam pelakon drama tu semua....hehehhehe. Tengok dari luar ajelah.









Hasil untuk lawatan kali ini

Habis tempat ni kami pun bertolak ke Manjung semula. Sebelum tu singgah makan dulu kat restoran tomyam sedap di Seri Iskandar (lupa nama, tak jauh dari Petronas).

Sunday, February 23, 2014

The Chess

Entah macam mana bebudak berdua ni terlibat dalam pemilihan main chess kat sekolah. Kat rumah tu kekadang ada la jugak depa main chess dengan aku. Tapi memanjang aje aku menang... maklumlah aku kan ayah. Hehehhee.

Cakap pasal chess teringat masa aku dok main chess kat cafeteria Kamsis Ibrahim Yaakob dulu. Seronok main masa tu dengan geng-geng aku. Macam-macam jenis lawak ada masa main chess ni. Siap ada sessi cabar mencabar dan kutuk-mengutuk sebelum perlawanan ala-ala gusti pun ada. Kan kalau kita tengok gusti Hulk Hogan ke, Rowdy Rowdy Piper ke mesti ada adengan macam ni. 

Memang lucu habis bila dikenang zaman zaman ini. Satu lagi mesti ada tabiat orang kat luar yang tak main tapi suka nak tunjuk next step dan ajar kat orang yang tengah main. Kadang sakit hati jugak, kita susah payah buat trap, orang luar pulak bagitau strategi... ishhhh. Apapun memang sangat terhibur masa tu.   

Tak terduga rupanya dua beradik ni tetiba aje terpilih jadi pemain sekolah. Seronok la aku tengok depa ni terpilih.

Minggu lepas ada pertandingan chess peringkat Daerah Manjung. Sampai 2 hari. Sebelum pertandingan tu aku tengok sibuk depa dua beradik berlatih main kat rumah.

Masa hari pertandingan, resultnya Nabila 4 menang 2 kalah dan Haikal pun sama 4 menang 2 kalah. Untuk jadi wakil daerah memerlukan sekurang kurangnya menang 4 dan seri 1 = 4.5 point. Haikal nyaris dapat mewakili daerah, sayangnya masa final dia kena lawan budak tingkatan 3 dari sekolah sendiri. Rupanya style dia memang macam tu.

Tak pelah, tahun depan boleh cuba lagi. Apa yang penting depa dah terlibat, dapat sijil dan ada jugak aktiviti ko-kurikulum mewakili sekolah.

Till next year good luck to Bobby Fisher and Gary Kasparov (versi perempuan). Hehehee. 

 Di rumah... siap pakai timer lagi kat tab

Ni masa kat sekolah tuan rumah di SMKDSK... sebelum pertandingan

Friday, February 21, 2014

Renungan Jumaat : Ghibah dan mengumpat


Asbaath dari Assuddi berkata: "Ketika Salman Alfarisi bersama para sahabat yang di antara mereka juga ada Umar r.a. dalam perjalanan, tiba-tiba mereka berhenti dan berkhemah, maka tidurlah Salaman sedang para sahabatnya ada yang memasak, lalu ada beberapa orang berkata: "Apakah maksud hamba ini, hanya mahu datang kekhemah yang sudah didirikan dan makanan yang sudah siap?" Kemudian mereka berkata kepada Salman: "Pergilah engkau kepada Nabi Muhammad s.a.w. minta lauk pauk untuk kami."

Maka pergilah Salman menyampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. permintaan mereka. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda kepada Salman: "Beritahulah kepada mereka bahawa mereka telah makan lauk pauk."

Maka kembalilah Salman kepada kawan-kawannya dan memberitahu apa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Lalu mereka berkata: "Kami belum makan apa-apa." Salman berkata: "Nabi Muhammad s.a.w. tidak berdusta dalam sabdanya." lalu dikatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w.:"Kamu telah makan daging saudaramu ketika kamu membicarakan (ghibah) padanya diwaktu ia sedang tidur." Lalu Nabi Muhammad s.a.w. membacakan Surah Alhujuraat ayat 12 (Yang berbunyi): 

 (Yang bermaksud): "Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakkan sangka-sangka, sebab sebahagian dari sangka-sangka itu dosa. Dan jangan menyelidiki kesalahan orang lain dan jangan ghibah (membicarakan hal orang lain) setengahmu pada setengahnya, apakah suka salah satu sekiranya makan daging saudara yang telah mati, tentu kamu jijik (tidak suka)."

Ulasanku

Zaman internet ini mengumpat jadi lebih mudah malah mengumpat secara berkumpulan sudah menjadi kebiasaan. Dalam facebook dan lain-lain media ada saja orang mengeluarkan satu tajuk atau ketidakpuasan hatinya terhadap orang yang tidak disenanginya. Benda berdosa macam ini, sekejap aje ramai yang memberi komen, mengumpat dan mengutuk sekalipun dia langsung tidak tahu hujung pangkal malah tidak kenal pun orang yang diumpat.

Begitulah sukarnya memelihara lidah dan perkataan serta penulisan pada zaman ini sedangkan di dalam hadis sahih riwayat Bukhari Nabi SAW bersabda kepada Mu'az bin Jabal sambil memegang lidahnya yang bermaksud : "Engkau wajib menahan ini. Maka aku berkata, ya Rasulullah, kami sentiasa mengotakan apa yang kami kata. Nabi berkata, 'ibumu telah kehilangan engkau, wahai Mu'az. Bukanlah manusia di campakkankan muka mereka ke dalam neraka disebabkan angkara lidah mereka?". (Hadis Riwayat Bukhari).

Semoga kita semua dijauhi dari perbuatan yang amat merugikan ini. Amin

Friday, January 24, 2014

Renungan Jumaat



 
Sabar dan Redha

Daripada Ummu Salamah r.a. katanya, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila seseorang itu ditimpa bencana, maka hendaklah ia mengucapkan: (Sesungguhnya kita datang dari Allah dan kepadanya kita kembali, Ya Allah berikanlah ganjaran kerana musibah ini, berikanlah aku pengganti yang lebih baik daripadanya) nescaya Allah SWT memberi ganjaran kepadanya kerana bencana tersebut dan menggantikan kepadanya yang lebih baik daripadanya, Ummu Salamah berkata lagi: “Semasa Abu Salamah meninggal dunia aku mengucapkan sepertimana yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. kepadaku, lalu Allah Taala menggantikan kepadanya (Ummu Salamah) seorang yang lebih baik daripada Abu Salamah (menjadi suaminya) iaitu Rasulullah s.a.w.”


Kata-kata nasihat Ibnu Qayyum..

Di dalam hati manusia ada kekusutan dan tidak
akan terurai kecuali menerima kehendak Allah swt.

Di dalam hati manusia ada keganasan dan tidak
akan hilang kecuali berjinak dengan dengan Allah swt.

Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak
akan hilang kecuali seronok mengenali Allah swt.

Di dalam hati manusia ada kegelisahan dan tidak
akan tenang damai kecuali berlindung, bertemu
dan berjumpa denganNya.

Di dalam hati manusia ada penyesalan dan tidak
akan padam kecuali redha dengan suruhan dan
laranganNya serta qadha dan qadarNya serta
kesenantiasaan sabar sehingga menemuiNya.

Di dalam hati manusia ada hajat dan tidak akan
terbendung kecuali kecintaan kepadaNya dan
bermohon kepadaNya.

Kesentiasaan berzikir kepadaNya adalah
keikhlasan sebenar kepadaNya. . . . . .
 

Andai dunia dan isinya diberikan kepada manusia
masih tidak lagi dapat membendung hajat hati
si hamba itu.