22 Sept 2022
Skardu - Katpana Desert - Manthoka Waterfall - Skardu
Bangun pagi-pagi di Rafsal Inn ni terus aku menjenguk halaman rumahnya. Wah ada pokok epal yang dah berbuah. Semalam sampai dah gelap tak sempat nak tengok luar rumah. Owner dia dah pesan semalam makan jelah epal dan aprikot kat laman rumah dia.
Seronok rasanya dapat petik epal yang fresh. Dapatlah beberapa bijik. Nampak macam tak berapa masak sebab kaler hijau sekali aku rasa ok aje agak manis, rangup dan sedap. Alhamdulillah.
Aprikot ni rasa dia macam jambu pun ada
Pokok epal dan aprikot ni ada sepohon je yang berbuah... tapi aprikot tu buahnya lebat betul. Kami tak perasan kat luar pagar ada lagi dia bagitau kami terlepas pandang. Epal ni sangat murah disini tambahan kalau jenis kecil dan gebu tu tapi kami lebih suka jenis besar dan rangup. Kat Hunza mahal sikitlah kalau yang besar tu RM3 sebijik. Kat kampung-kampung murah lagi. Memang tak putus bekalan epal sepanjang perjalanan kami kat sini. Apapun pengalaman petik buah yang segar memang lebih menyeronokkan.
Gayanya Rafsal Inn ni macam rumah banglo design lama dan ada tanah yang luas di sebelahnya. Rasanya depa dah upgrade semua macam lantai yang diganti karpet, dinding yang baru dicat dan perabot termasuk tilam bantal semua macam baru... kat luar rumah pun masih tengah bina tempat tanam bunga bagai
Hari ni nak pegi Katpana Desert dan Manthoka Waterfall. Ada banyak attraction lain lagi sebenarnya di Skardu ni tapi kami decide nak pegi dua ni je. Malas nak kejar banyak tempat. Tasik semua aku skip.
Jadi lepas sarapan pagi nasi goreng dan pizza semalam yang banyak berbaki tu, kami bertolak ke Katpana Desert. Dekat aje dari guesthouse. Lebih kurang 20 minit perjalanan. Keluar tadi pun agak lewat dan santai-santai jadi sampai sini dah pukul 10 pagi.
View sekitaran desert sejuk ni memang cantik dengan anak sungai yang jernih.
Jernih sampai nampak reflection yang begitu jelas
Chalet sekitar Katpana Desert
Gambar bawah ni semua diambil oleh Haikal dari atas bukit pasir sana.
Tak lama mana pun kat sini. Perjalanan diteruskan, dalam setengah jam kemudian sampailah ternampak satu lookout ni. Lawalah pulak spot ni jadi terpaksalah singgah haha. Terus aku belok kereta ke tepi. Apa lagi view cantik macam ni kena naikkan drone lah baru puas hati.
Selesai tempat ni sambung lagi menuju ke destinasi. Ikutkan map sejam setengah je ke waterfall tu tapi itulah jalan sini kadang-kadang sempit, tepi sungai dan gunung jadi takdelah berani nak bawak laju tambahan pulak berhenti sana sini maka jauhlah jadinya. Lagipun perjalanan harini kena kira waktu untuk patah balik semula jadi tak mau lah aku sampai malam ke Skardu.
Bab pengendalian drone ni serahkan pada Haikal. Dia minat mengetest benda-benda teknologi. Drone ni dia landingkan kat atas bumbung kereta. Selamat dan bersih dari kotoran katanya
Perjalanan disambung lagi. Haikal dah ambik alih memandu masa ni sebelum aku bawak semula kemudiannya. View sepanjang perjalanan memang indah belaka. Kadang-kadang ada sungai turqoise. View pokok-pokok unik dan nampak kanak-kanak pegi dan balik sekolah jalan kaki ramai-ramai serta dapat menyaksikan kegiatan penduduk kampung memang merupakan suatu pengalaman baru dan unik bagi kami.
Kalau sepanjang laluan jalan landai camni kan best... apapun laluan ke sini nak banding semalam punya laluan dari Babusar ke Skardu lagi terharu, boleh dikatakan gaung aje
Sepanjang perjalanan ke Manthoka kami dihidangkan dengan pemandangan yang sungguh mengkagumkan bagi kami. Kalau ikut family aku, asyik nak menyinggah aje... bila nak sampai gamaknye. Apapun tetap jugak singgah beberapa spot untuk mengambil gambar dan video.
Singgah lagi bila terjumpa spot menarik berikutnya iaitu tugu peringatan perang. Memang bestlah tempat ni dengan suasana sungai dan gunung ganang yang sungguh menarik. Cuaca yang cantik, udara pun nyaman memang seronok lah melepak sini. Cuma air sungainya bercampur lumpur jadi tak berapa turquoise.
Ini tugu peringatan bersejarah peperangan Pakistan dan musuhnya. Geng kicaplah mana lagi. Dinyatakan salah satu punca kemenangan adalah tentera Pakistan telah melontarkan batu-batu besar kepada musuh yang berada di bawah
Teman kena jadi cikgu Sejarah kejap sebab deme ni maleh membaca, nak dengo cerite je senang katanya
Dah masuk waktu Zohor ni, jadi singgah solat jamak taqdim di surau ni. Surau syiah nampaknya pasal nampak ada lapik batu tempat sujud imam. Tak ada masalah janji boleh solat dengan sempurna.
Surau ni betul-betul tepi dengan jalan raya
Jalan depan sikit macam tu sampai spot ni pulak. Berenti lagi. Masa ni dah jam 1 ptg.
Aku syak ni pasir jerlus lah
Kemas, cantik dan tersusun indah di atas tanah putih di tepian sungai
Tak sampai 10 minit gerak dahh berhenti sini pulak. Segak katanya. Siap nak naikkan drone lagi tu. Aku cakap udah-udah ler nanti bila mau sampai lagipun mengenangkan nak kena patah balik Skardu nanti.
Tempat ni tak jauh sangat dah dengan waterfall
View dari atas kereta... lawa sebab ada sungai turquoise yang kecik situ
Agak petang dalam pukul 2 lebih baru sampai ke Manthoka Waterfall ni. Suasana memang cantik dan indah. Enjoy tempat ni. Terjumpa family dari Malaysia yang sedang bercuti sebulan kat sini. Balik kampung katanya sebab isteri dia orang Malaysia dan dia sendiri orang Pakistan. Peramah dia. Dengar aku bagitau kami self drive terus isteri dia cakap, "diorang lagi berani dari kite bang". Aku senyum je hehehe. Padahal kami ni pun tawakkal dan main hantam aje.
Sampai sudah Manthoka Waterfall
Wife aku kata dia lagi suka waterfall ni dari yang kat Lauterbrunnen Swiss
Tengok lah kejernihannya... minat betul anak-anak aku dengan stream ni, macam fairy tales kata Nabila
Jadi lepas jenuh menjamu mata dan bergambar seketika kami berangkat pulang. Balik tak terasa lama. Mungkin betul kata orang tua-tua, masa pergi mana-mana memang rasa lama sebab rumput tegur kita😃. Perjalanan balik ni Nora ambik alih sampai ke Skardu sana lagipun tak singgah mana-mana tempat dah, lagi cepatla sampai.
Sebenarnya satu yang agak hairan kalau kat oversea negara empat musim ni, selalu aje makan pagi mampu bertahan sehingga petang. Rilek aje boleh skip lunch. Kat Korea, Jepun haritu pun sama. Patut lagi sejuk lagi lapar, tapi ni terbalik betul.
Sampai pekan Skardu sebelum sampai homestay, kami ke sebuah kedai makan. Asalnya Haikal dan Nabila nak beli aiskrim, sekali ada satu kedai makan sebelah dia. Ok, kita makan sini ajelah.
Aiskrim ni dia campur dan bancuh on the spot. Kena tunggu sikit la. Musykil dengan style Pakistan ni
Ate complicated benor ke menunya sampai berkerut dahi
Menu nasi goreng cina, mee goreng dan sup telur. Sup tu wife aku tengok orang sebelah makan macam sedap aje katanya jadi orderlah semangkuk haha. Nasib rasa dia sedap. Mee dan nasi goreng boleh tahan la tapi tak bolehlah nak expect macam Malaysia yang serba lazat
Lepas makan terus balik ke Rafsal Inn semula, kesudahannya sampai Maghrib juga akhirnya. Air panas macam biasa tak ready lagi nak digunakan. Tak masalah aku masak aje air guna cerek dan campur dengan air sejuk dalam baldi. Malas aku nak tunggu-tunggu. Hah lega dapat mandi setelah seharian berkelana.