17 JAN : SHANGRI LA
❤Napahai Grassland ❤Potatso National Park ❤Dukezong Ancient Town
Shangrila ni ternyata lebih sejuk dari Lijiang atau Dali, memang mencengkam tulang. Mujur guesthouse ini mempunyai sistem pemanasan yang baik termasuk tilam haba elektrik. Nyaman dan selesa betul sampai rasa malas nak bangun pagi.
Itinerary hari ini rancang nak ke Potatso National Park, katanya cantik luar biasa. Tapi sebelum tu, singgah dulu kejap di Napahai Lake. Dengarnya tempat ni popular jadi kena singgah ler orang kata, been there.
Terus ambil Didi menuju ke sana. Sampai je memang tak mengecewakan, kawasannya luas, ada padang rumput terbentang dan tasik. Tempat ni berpagar, tapi dari luar pun dah boleh cuci mata.
Ada orang naik kuda untuk keliling kawasan. Kuda ni dituntun orang.. kalau dapat naik ala ala koboi baru mantap😁. Kami sekadar jamu mata lepastu teruskan perjalanan ke destinasi utama iaitu Potatso National Park.
Belakang tu semua tasik
Sepanjang jalan menuju ke Potatso National Park yang berjarak lebih kurang 22km dari pusat bandar ni, makin dekat makin banyak pulak kelihatan salji di kiri kanan jalan.
Sampai ke destinasi hampir tengahari. Elok sangatlah, takdelah sejuk sangat. Tapi bila angin bertiup, uiii memang terasa jugak sikit.
Tiket masuk 115 yuan seorang.
Sebaik saja tiket dibeli kami berjalan menuju ke tempat menunggu bas khas yang disediakan untuk membawa pelawat ke dalam kawasan tarikan utama dalam taman ini.
Dapat seat depan ni memang best, view clear tengok dunia luas sikit harini
Namun, sebelum tiba ke destinasi utama iaitu di kawasan tasik, bas akan berhenti di Snow Park dulu. Snow Park ni baru dibuka start winter tahun lepas. Cantik dan meriah. Kat sini boleh main sledding dan beberapa aktiviti lain secara percuma, yang berbayar pun ada. Tak lepaskan peluang, habis semua orang kembali ke zaman kekanak haha.
Kasut sarung paling steady, senang pakai, ringan dan tapak cengkam tak licin atas salji
Langkah demi langkah menuju ke bas
Lepas habis layan snow kami naik bas semula dan perjalanan pun diteruskan ke tarikan utama iaitu Shudu Lake dan Bita Hai Lake.
View dalam perjalanan terlihat di sebelah kanan anak anak sungai cetek mengalir tenang
Tiba di stop Shudu Lake dan Bita Hai Lake yang tersergam indah, tenang airnya dan memukau ini. Apalagi jom kita start jalan...



Tasik ni memang menawan betul. Dengan kombinasi salji, berlatarbelakangkan view gunung, permukaan tasik yang membeku di beberapa tempat serta langit yang membiru membuatkan keindahan tasik ini semakin terserlah.
Kalau boleh jalan atas ais ni kan best😀
Tunggu turn nak bergambar di spot paling cun
Sampai di kawasan lookout utama yang menghadap tasik dan yak, kami perasan ada yang dah mula berpatah balik ke arah tasik di sebelah kiri. Kami pula bersama sebahagian pengunjung lain memilih untuk teruskan berjalan hingga ke hujung.
Lepak sini sambil layan telur rebus pemberian dari owner guesthouse. Baik dia, rasa macam orang dedulu bekal telur rebus kalau nak pegi jalan jalan😃. Tengah makan Haikal kata kalau ada kicap mesti jadi lagi sedap telur ni huhu
Macam biasa kalau sesiapa nak ambik gambar dengan brader hensem gebu ni kene ler bayo
Laluan pejalan kaki memang cantik dan kemas. Kiri kanan ditutupi salji, bertambah indah suasana. Sepanjang laluan tu, ada juga beberapa pelantar kayu yang dibina di atas tasik untuk yang nak berhenti sekejap sambil layan view tasik yang tenang dan gunung gunung di kejauhan.
Sebahagian tepi kawasan laluan dipenuhi salji tebal jadi boleh singgah main main dulu. Sini jugak ada perkhidmatan bot sebenarnya tapi tutup masa winter.
Sepanjang winter memang terbenam kat sini jelah kot bot ni
Pelantar kayu + tasik beku + view gunung.. tempat paling tenang untuk berhenti, tarik nafas dengan rasa syukur
Singgah duduk kejap kat bangku tepi ni sambil makan coklat energy bar, kasi lagi kuat sikit. Haha. Ada family Melayu yang jumpa tadi pun mai berehat sekali.
Asap yang kelihatan di tepi tepi laluan pejalan kaki ini rasanya stim yang digunakan untuk mencairkan ais di permukaan jambatan agar laluan menjadi lebih selamat dan mudah dilalui
Setelah sekian lama dalam perjalanan yang penuh keindahan dan sedikit kesejukan, akhirnya sampai ke hujung tasik.. Alhamdulillah. Tak silap aku jaraknya dalam 8km.
Tersedia di situ bas hijau untuk membawa kami ke tempat permulaan tadi.
Ehh.. belum tamat lagi rupanya. Kena tukar bas lagi padahal dah tak jauh nak sampai. Pengumuman pulak dalam bahasa Cina jadi kami buat tak tau aje. Sekali nampak bas patah balik barulah kami bagitau driver dan terus dia tunjuk kami bas mana yang patut kami naik.
Selepas turun dari bas, kami berjalan kaki semula menuju ke pintu masuk tadi. Dari kejauhan, sudah kelihatan kereta yang kami naiki pagi tadi. Setia betul driver ni menunggu di situ, entah ke mana dia sepanjang kami di dalam, sebab agak lama jugak kami di sana.
Dekat nak malam barulah kami tiba di bilik penginapan. Sempat berehat sekejap sebelum keluar semula mencari makan.
Sampai satu kedai ni dan bila makan.. woww sedap betul kesemua hidangan kat restoran ni. Sayangnya gambar kedai lupa nak ambil.
Nasi goreng panas panas, dumpling berintikan daging, sayur campur goreng, ayam masak merah versi Yunnan dan satu lagi menu macam bistik telur lembut berkuah gitu. Hidangan warna putih tu tak silap roti, aku rasa.
Campuran rasa tempatan dan gaya masakan Muslim ni buatkan setiap suapan rasa umphh.
Lepas habis makan, depa pulak ajak jalan jalan ke Dukezong Ancient City. Layankan aje... bukannya jauh pun, dekat je dari restoran.
Suasana malam kat Dukezong ni agak cantik, lampu lampu kuning malap menyinar di celah celah bangunan lama. Tak sangka pulak malam malam gini ramai orang berkumpul menari sopan sopan ikut muzik tradisional, apakehei... tak sejuk ke deme tu?
Dari jauh boleh nampak kuil atas bukit Guishan Park, tapi kami tak naik pun, tengok dari bawah je dah cukup. Dukezong ni memang sesuai kalau nak rasa suasana Tibet lama tanpa perlu panjat tinggi tinggi.
Tak lama pun lepak dalam kawasan ni, pusing pusing sekejap lepas tu terus balik.