Thursday, May 29, 2025

YUNNAN CHINA : DAY 2 - DALI

13 JAN 

❤Erhai Lake ❤Dali Old Town ❤Dali South Gate Mosque ❤S Corner

Hari kedua yang sejuk dan nyaman di Dali. Lega dan selesa dapat tidur semalaman atas katil yang empuk ni. Bukan macam kelmarin tidur dalam flight dan kat bangku airport. Haha. Waktu subuh di Dali ni agak lambat sikit.

Lepas sarapan dan mengemas serta mendobi, terus gerak ke tepian Erhai Lake. Dah nampak tasik dari balkoni takkan tak pergi kot. Dekat, jalan kaki je.

Sepanjang perjalanan aku tengok ada banyak skuter dan basikal elektrik di sini. Agaknya memang budaya orang sini guna benda benda elektrik ni. Didi e hailing pun kebanyakan menggunakan kereta elektrik.

Tak aman teman rase nak jalan sebab cina tepi tepi ni asyik offer kut kami nak sewa skuter dia. Orang nak senaman kaki ni diusik usiknya. 

Memang cantiklah tepian Erhai Lake ni. Tasik Erhai ni kalau tengok dalam map sangatlah besar. Ni baru satu sudut kecil je yang sempat dilawati.

Ada pulak itik itik di sini. Sapa sapa yang nak bagi makan itik boleh beli makanan yang dijual oleh penjaja. Family aku pun tak ketinggalan nak juge bagi makan itik.

Jomlah jalan jalan lagi sampai ke feri cruise yang kelihatan menarik di hujung sana.

Besarnya feriii

Penjaja buah dan sayur pun ada di sini. Anak anak aku beli buah anggur hitam dan buah pink tak tahu nama sebab nampak best. Akan tetapi buah tu agak keras ke memang gitu rasa dia. Macam buah kana pun ada.

Melepasi feri kami decide untuk ke tempat lain pulak. Terus aku book Didi untuk ke Dali Old Town. Sekejap aje sampai. 

Baru kat muka jalan Old Town sahaja dah jumpa orang jual buah. Terus depa beli strawberi pulak. Ada yang tak manis buah ni, dah bercampur agaknya. Tadi masa dia bagi rasa semua agak manis. Apapun rasa dia lagi ok la dari strawberi Cameron yang selalu masam aje. Huhu.

Anggur fresh dan strawberi... rambutan pun ada tu

Next terus berjalan kaki. Depan sikit je kami sampai di Dali South Gate Mosque. Kemas masjid ni, binaan pintu yang klasik dan unik dari kayu kayan.

Masjid ni terletak di deretan bangunan 2 tingkat di sebelah kiri. Ada pintu gerbang macam ni. Masjid kat dalam tu la. Solat jamak sesiap.

Gambar bawah ni masjidnya. Di sebelah kiri masjid ni ada bangunan 2 tingkat yang nampak dari luar pintu gerbang tadi tu. Salah satunya surau wanita di tingkat atas. 

Masjid ni jugak sebagai pusat komuniti Islam tempatan. Majlis ilmu, pengajian dan sambutan perayaan pun diadakan di sini. 

Comel je skuter brader ni

Sambung lagi berjalan di Old Town ni. Waktu ni tak berapa ramai orang.

Jalan lagi Haikal ternampak sebuah restoran ada logo bulat hijau tanda HALAL. Semua peniaganya menutup aurat.

Sini kami order laksa, nasi dan mee sup serta dumpling. Nasi sup tu wife dan Nabila cakap ok. Yang lain rasa masakannya boleh tahan aje. Menu ayam pun tak lembut macam yang disangka. 

Habis makan jom ronda ronda lagi. Kat hujung sana ada jualan buah buahan yang sungguh meriah. Macam macam ada. Area ni dah sebijik macam pasar malam dah. Rambang mata dibuatnya. 

Kami pun beli buah limau dan strawberi lagi. Banyak pilihan buah lain yang tak pernah tengok, tapi seriau pulak nak try😐 

My favourite di mana mana... buah beso dan maniss

Tebu je nampak tapi air tebu tak ada. Style orang Cina juai tebu macam tu je. Winter memang biasa orang makan tebu potong gini dan katanya dapat hilangkan sakit tekak

Sampai ke hujung jalan aku ambik Didi untuk ke next destination iaitu Longkang Wharf atau S Bay yang famous kat Dali ni. Dalam 20 minit sampailah tempat ni. 

Ramai orang dan meriah tempat ni. Ada banyak basikal dan skuter untuk di sewa. Lori berhias pun ada kalau nak naik untuk pusing pusing tasik.

Jomlah naik basikal. Mahal jugak dia bagi harga mula tu. Dah petang macam ni takkan takde diskaun sikit... kan. Last depa dapat 4 basikal total RM40. Boleh letu. Ayuh kita mengayuh. 

Basikal punnn berbunga bunga. Hehe.




 S Bay






Memang enjoylah berbasikal di sini. Nyaman dan pemandangan pun cantik menawan. Nak ambik gambar pun best.




Habis tempat ni terus ambik Didi ke apartment semula. Sampai pun dah malam. Keluar dari Didi elok nak masuk gate apartment Haikal ternampak restoran HALAL. Cekap betul mata anak aku sorang ni, asyik dia aje yang ternampak dulu.

Memang rezekilah kat sebelah gate aje. Sebelum ni tak nampak sebab masuk ikut gate lain. Mantaplah. Terus masuk dan order nasi goreng bungkus.

Dalam kedai ni ada 2 meja aje yang ada pengunjung selain kami


Sedaplah nasi goreng cina kat China ni😁, banyak pulak tu sampai tak habis makan. Walaupun tanpa udang atau sotong hanya sekadar telur, rasanya tetap padu. 

Alhamdulillah, selesai untuk hari ini. Esok dah nak ke Lijiang.

Tuesday, May 20, 2025

YUNNAN CHINA : DAY 1 - DALI

11 & 12 JAN : KUNMING - DALI

❤China Santorini ❤Dali Ancient Mosque


Flight Kuala Lumpur ke Kunming ni dijadualkan 9.40 malam. Jadi dalam pukul 5 lebih kami sudah pun berada di hentian ERL Salak Tinggi. Macam biasa tak merasalah nak parking level bawah. Memanjang atas sekali. Makin ramai pulak yang occupied monthly parking.

ERL Salak Tinggi

Proses check in, bording pass semua berjalan lancar. Cuma timbang luggage tu ambik masa sikitlah. Kalau sebelum ni ambik masa sebab nak pindah barang dari luggage ke hand carry tapi kali ini terbalik sebab kami dah kurangkan berat kat luggage sampai terlajak ringan hehe. Maklumlah weighing scale kat rumah mana nak tepat sangat dengan Air Asia punya. 

Adjust jangan tak adjust, sat terlebih sat terkurang


Hasilnya kena berjalan laju sikitlah mengejar masa. Nasib baik flight Kunming ni gate dia dekat aje. Tapi yang musykilnya flight AK 103 delay 1 jam. Last minit dia inform, tu pun pakai email, mana nak perasan. Kalau aku tau nescaya aku bersantai santai dulu tadi.

Sementara menunggu, kami solat jamak takhir sesiap. Surau pun depan waiting room ni je

Memang tak sempat nak makan malam punya, jadi sesiap aku dah order online. Malam ni aku ambik nasi lemak Pak Nasser, 2 omelette dan Mac & Cheese.

Pesawat mendarat dengan selamat di Kunming airport pukul 2 lebih. Jam kat Kunming ni sama dengan Malaysia. Alamak sejuk betul dalam airport ni. Langsung tak ada heater. Kelam kabut keluarkan winter coat.

Mujurlah urusan imigresen dan kastam berjalan lancar. Beg kami langsung tak diperiksa. Selamat le pelbagai pek makanan segera, roti, serta jajan yang dibawa. Setahu aku pack food yang berlabel memang takde masalah. Cuma food warmer yang beli asing tu je tak lepas masa flight balik. 

Masa ni dah jam 3 pagi rasanya. Keretapi pukul 7 lebih. Rehat rehat dulu atas kerusi yang disediakan sampai tertidur. 

Laluan ke e hailing jadi mudah sebab ada signboard dan jugak ada anak panah hijau di lantai sebagai guide menuju E Hailing Didi pickup point di tingkat bawah.

Kunming International Airport. Tempat lepak kami kat kerusi hujung tu. Yang hijau kat lantai tulah anak panah ke Didi

Pukul 6.15 kami pun gerak ke Kunming Railway Station dengan Didi.  Sebenarnya ikut trip.com train kami kena naik kat Kunming South Railway Station tapi driver ni pi salah hantar di train station lagi satu. Haru sungguh. Nasib baiklah bila ditanya petugas sana, boleh naik keretapi yang sama di stesen ni tapi lewat dalam 10 minit gitu. Alhamdulillah. 

Masa kat airport tadi sesiap kami berus gigi dan berwuduk. Lebih santai takde orang. Sampai stesen keretapi cari satu sudut hujung kedai terus solat.

Naik di Platform 7 menuju ke Dali

Jualan dalam train. Limau sedap manis. Sebelum masuk train tadi makan jagung rebus

 Tiba di Dali Railway Station

 Nasib ada translator, ayam itik pun boleh komunikasi

Train tiba di Dali pukul 9 lebih. Oleh kerana jarak train station dekat aje dengan Tianyu International Service Apartment, kami ambik teksi aje. Tambangnya 10yuan sahaja. 

Butler bertugas sedia menunggu depan gate apartment, maklumlah aku memang dah request nak check in awal dalam trip.com. Walau masuk awal harga tetap sama mana mana hotel di Yunnan ni. 

Nasib baik dia ada, dapat dia tolong bayarkan tambang sebab driver teksi ni tak ada duit baki 100yuan yang aku bagi. Maklumlah money changer Malaysia asyik nak bagi duit besar aje.

Sampai sudah di Tianyu International Service Apartment. Butler ni memang terbaiklah service dia. Semua dia kasi tolong syarat kena ada WeChat atau google translator la. Beg beg kami dia tolong bawakan kiri kanan tangan dia

Wow menariknya apartment ni. View tasik yang cantik dan serba lengkap  memang bestlah. Walaupun dah tengok gambar dalam trip.com tetap tak sama bila depan mata hehe. Terhibur semua dengan suasana macamni.

Ruang tamu ni ada balkoni mengadap tasik

Master bedroom

Bilik kedua. Semua ruang dalam rumah ni nampak view tasik


Erhai Lake dari bilik utama

Pokok di meja makan. Merata rata pokok hidup ada dalam rumah ni

Pek segera ni kira talian hayat la


Sebelah petang, badan pun dah segar kami pun mengambil Didi ke Dali Santorini yang kedudukannya di sebelah kanan tasik. Apartment kami di sebelah bawah tasik ikut map.

Untuk ke atas kami naik buggy dengan bayaran 10yuan seorang. Agak cantik jugak Santorini ni.

Naik dengan buggy, turun guna tangga








Pool

Aku dengan wife turun dulu. Dua beradik tak habis pusing lagi katanya

Masa kami dah lepak kat bawah depa call ajak minum kat atas. Malas kami nak pegi semula. Suruh depa saja pegi minum, tak sudi pulak.

Sementara tunggu anak anak turun, kami pegi jalan jalan kat tasik depan Santorini ni.


Habis Santorini kami ambik Didi ke Dali Ancient Mosque. Solat jamak maghrib sekali makan malam di restoran yang betul betul depan pintu pagar masjid. Kena perhatikan ada tanda bulat hijau Qing Zhen Shi Pin tu maknanya halal lah tu. Tapi paling yakin halal area masjidlah. 

Dali Ancient Mosque

Lain macam sikit bacaan Al Fatihah kat sini

Sejuk sejuk macam ni makan hotpot steamboat memanglah best. Lepas makan terus balik ke apartment. Lambat pulak Didi ni nak sampai. Sejuk terketar aku kat luar ni. Patut tunggu dalam restoran dulu tadi. Hmm

Hygiene betul. Set pinggan mangkuk pun dok dalam kertas, mana mai camni punya packing dah macam set baru pulak


 Kasi rebus semua

Friday, May 16, 2025

CHINA WINTER TRIP

11 - 19 JAN 25

Aku ni peminat cerita Kung Fu dan Shaolin sejak kecik kecik lagi. Rajin geng kami budak budak kampung pegi tengok cerita Kung Fu kat panggung wayang lama Pantai Remis Perak. Pantai Remis ni ada dua panggung wayang. Panggung baru untuk cerita mat saleh, tiket dia 65sen dan kami lebih suka cerita Kung Fu kat panggung lama. 

Tengok wayang tu sekali makan kerang rebus dan ABC lah apalagi. Nikmatnya taktaulah nak gambarkan punya best. Kecik kecik mana ada duit. Tiket masa tu 40sen seorang untuk panggung lama.

Ingat senang ke nak dapat duit sebanyak tu. Jawapannya kenalah cari kelapa luruh dan pergi jual dekat Cina Ah Guan. Lagi sadis ada yang jual kura kura kat Cina nak tengok wayang punya pasal hahaha. Nostalgia betul. 

Dan bila aku dah zaman kat UKM, ni zaman komik dari Hong Kong jadi kegilaan termasuk budak budak U. Komik macam Dewata Raya, Wira Wira Keinderaan, Harimau Kumbang, Wira Tunggal dan Alam Perwira memang viral. Paling best mestilah Alam Perwira.

Kisah berlatarbelakangkan Kerajaan China Dinasti Shang sangatlah best. Hero dia Ji Fatt dan ayahnya Duke Ji Chang berasal dari Dali Yunan. 

Ada sorang kawan aku ni dia ni ahli komik terkemuka. Bertimbun komik cerita Hong Kong kat rumah. Apalagi ulangkaji komik kat sanalah padahal exam dah dekat. Camna tu cara nak kaitkan subject killer thermodynamics dan Teori Reaktor dengan komik... musykil aku.

Jadi kedatangan aku ke Yunnan China termasuk Dali tempat lahir Ji Fatt ini sempena mengenang nostalgialah kiranya hahaha.


Persediaan aku kali ni lain sikit. Sebab China ni pun lain macam nampaknya. Dia punya system tersendiri dan agak isolated.

1. Kebanyakan urusan guna cashless. Jadi kena pastikan ada apps Alipay dan WeChat. Make sure Alipay telah link dengan credit card atau debit card. Credit card lebih penting sebab debit card kekadang sangkut. Lagi satu sebagai alternatif back-up pula dengan WeChat pay. Terkini WeChat susah nak dapat pasal kena verification bagai. Jadi anak aku beli WeChat berbayar kat shopee. Sini English memang sapa pun tak faham. Jadi kena ada translator. Paling afdhal WeChat translator pasal yang lain selalunya kena block. Internet pulak boleh aje guna e-sim beli kat shopee, tapi aku lebih suka roaming, lancar dan langsung tak sangkut.

2. Untuk hotel semua aku book dari trip.com. Begitu jugak train ticket.

3. Makanan halal takde masalah, merata ada paling afdhal dan yakin halal adalah restoran yang berdekatan area masjid.

4. Untuk pengangkutan dlm bandar guna aje apps Didi yang macam grab, cuma kena pastikan location adalah tepat. Didi pula siap siap dah dicombine dengan Alipay so tak masalah. Tapi taxi pun banyak kalau nak.

5. Pasal makanan elok aje lepas semua yang kami bawak, maklumlah flight sampai Kunming 2 pagi, takde sapa sudi nak check hahaha. Macam macam kami bawak, yelah takkan pagi pagi dah nak cari kedai.

6. January ni musim sejuk. Kena lebih sikit la pakaiannya macam biasa.

Maka pada 11 Januari hari Sabtu kami pun bertolak dari Kuantan ke ERL Salak Tinggi dan perjalanan pun bermula.