Friday, March 31, 2017

Umrah 2017 : KL - Colombo - Jeddah - Madinah

30 Jan - 03 Feb 2017

Perjalanan Pergi

Maka sampai ketika yang di nanti-nanti pada hari Ahad 29 Januari kami sekeluarga pun bertolak ke Putrajaya Sentral. Ini kali kedua parking di sini. Kali pertama parking kat tempat ni masa pergi Krabi. Sampai pun dah lewat malam maklumlah flightnya pukul 7 pagi. Rasanya tempat ni macam dah dibesarkan, confuse jugak aku mana nak parking.

Lepas parking, ambil tiket  semua terus cari teksi ke KLIA. Nampaknya ada banyak teksi menunggu kat bawah walaupun dah lewat malam. ERL dah tutup masa ni... servis dia sampai 12.20 malam sahaja. Tapi rate teksi ni lebih sikitlah….maklumlah tengah malam. Driver teksinya pulak wanita berniqab. Sepanjang perjalanan ke KLIA tu, lama jugaklah isteri aku dengar macam macam pengalaman akak ni masa dia buat umrah. 

Sampai KLIA kami berkumpul di Gate C6 bersama-sama ahli rombongan yang lain. Selain kami, keluarga kakak ipar aku, sedara sedara dan ibu mertua pun ada sekali dalam rombongan ini. Lama jugak menunggu di sini, merayau sana sini sementara menantikan masa berangkat dan dibenarkan check in. 

Menjelang hampir waktu subuh, lepas check in lugage dan dapat penerangan dari Mutawif Panwi semua orang terus ke departure hall. Masa memang suntuk dan tak sempat solat subuh di surau sebab ketika itu masuk waktu agak lambat, macamanapun masih sempat sembahyang subuh di dalam departure room dalam keadaan yang sempit dan ramai orang. Satu pengalaman baru.

Flight yang Imtiyaz Travel pilih kali ini Air Sri Lankan dengan transit di Colombo.

Colombo Sri Lanka

Asalnya direct flight namun ada perubahan. Perjalanan dari KLIA ke Colombo Sri Lanka mengambil masa 3 jam. Waktu sini awal 2 jam tak silap aku dari Malaysia.

Sampai di airport, semua jemaah di bawa dengan bas ekspress keluar dari airport dan di tempatkan di sebuah hotel sementara menunggu pesawat ke Jeddah. Jadi walaupun transit taklah terasa langsung kekurangannya, malah gembira pulak dapat merasa menjejakkan kaki di Colombo.

Menu western dalam flight... sedap

Sarapan aku roti phrata dengan kari ikan. Sri Lanka style... memang terangkat

Tiba di airport Colombo

Makanan kat hotel pun ok dan sempatlah berehat beberapa jam, maklumlah tak berapa cukup tidur.  Cuma nak masuk Colombo tadi tu ada sikit kecoh dengan imigresen, apapun alhamdulillah selesai. 

Hotel Catamaran Beach di Colombo Sri Lanka. Untuk family aku, dapat 2 buah bilik deluxe ni. Tepi laut dan ada pool. Walaupun rehat sebentar aje ianya cukup melegakan

Muka muka kekenyangan. Sampai aje hotel, makan lagi... padahal tadi dalam flight baru je makan. Tak cukup tu, masa nak check out makan lagi sekali

    
Suasana di Sri Lanka ni macam kat Malaysia jugak

Flight seterusnya ke Jeddah pukul 4 petang. Pesawatnya baru, lebih besar dan lebih selesa dari Air Asia dan makanannya sedap belaka. Perjalanan ke Jeddah mengambil masa 5 jam. Tiba di Jeddah lebih kurang dalam pukul 8 malam waktu tempatan.

Subhanallah...cantiknya

Jeddah

Gemerlapan Jeddah semasa nak mendarat

Urusan imigresen memang cepat lebih kurang setengah jam sahaja.  Alhamdulillah. Tak ada sangkut sangkut macam sesetengah blog yang aku baca sampai ada yang 6 jam delay.

Keluar dari airport Jeddah

Selesai jamak Maghrib dan Isyak di surau airport, semua jemaah meneruskan perjalanan selama 6 jam lagi ke Madinah. Tak terasa sangat perjalanan ni sebab mata asyik terpejam aje.

Bas berhenti singgah di sebuah R&R. Perut masih kenyang makan dalam flight tadi. Makanan kerap pulak di hidangkan... memang best, jadi kebanyakan orang makan yang ringan aje. Sejuk rasa kat sini.




Madinah 
Sampai di Madinah sebahagian jemaah ditempatkan di hotel Rawabi Al Zahra dan sebahagian kecil lagi di hotel lain. Agak selesa dengan 5 buah katil. Terlebih satu katil sebab family aku 4 orang sahaja sebilik. 

Madinah memang betul-betul sejuk ketika itu. Waktu malam dan pagi sampai 5°Celcius. Semua orang dah prepare baju sejuk siap-siap. 


Hotel ni kira kira 400m dari Masjid Nabawi...dekat je rasa berulang alik ke masjid sebab jalannya lurus dan landai



View dari tingkap bilik

Pertama kali memasuki Masjid Nabawi, memang ada satu perasaan hebat melanda. Aku rasa semua orang yang memasukinya pasti merasainya. Solat Subuh di dalam masjid yang dijanjikan ganjaran 1000 kali ganda pahala ini memang menakjubkan. Nikmatilah dan rasailah sendiri kenikmatan dan kemanisan beribadah di sini siang dan malam.

Melihat dan menyaksikan sendiri orang berpusu-pusu berjalan kaki awal sebelum masuk waktu subuh adalah pengalaman yang sukar dilupakan. Ternyata masjid Nabawi ini sangat cantik di luar dan di dalamnya. Jadi sesiapa yang ke sini, jangan sekali-kali melepaskan peluang solat berjemaah di sini setiap waktu.

Tentang makanan kat hotel ni kira boleh tahan la. Tukang masaknya orang Indonesia. Rasa makanannya sederhana tapi yang pasti makanan sentiasa mencukupi dan banyak. Alhamdulillah. 

Antara perkara yang sukar nak dilupakan adalah suasana berhimpit-himpit ketika menziarahi makam Rasulullah. Punya la sesak dan teruk kena himpit, nak bernafas pun susah. Teringat aku beginilah agaknya suasana masa tragedi beberapa tahun dulu di Mekah, yang sampai ada orang mati lemas.   

Apapapun Alhamdulillah masih selamat lagi. Terfikir aku alangkah baiknya kalau pihak berkuasa menyediakan laluan seperti gate masuk ke LRT beberapa laluan, masuk ikut giliran dan ada timing, maka tak lah sesak teruk macam ni.




 Hari pertama. Suasana petang selepas asar


Inilah salah satu masjid yang sentiasa hidup dan aktif 24 jam. Satu kekurangan payung besar tidak dibuka sepanjang aku di sini. Under maintenance agaknya 




Air zam zam di mana mana sahaja, sentiasa boleh minum...sebelah tu Galeri Asmaul Husna terletak sebelah kanan Masjid Nabawi 


Orang ramai sedang memenuhi kawasan air zam zam lepas solat


Peta Masjid Nabawi dari google...dari hotel aku menginap masuk melalui gate 7 sebelah kanan masjid




Suasana waktu Subuh



Sarapan hari ke-2 

Di lobi hotel menunggu bas sebelum ziarah luar


Deretan kedai sebelah hotel


Depan hotel


Antara tempat-tempat yang sempat diziarahi di Madinah,

1. Masjid Nabawi dan kawasan sekitar
2. Majid Quba
3. Ladang Kurma
4. Bukit Uhud dan Bukit Pemanah
5. Masjid Qiblatain - sekadar lalu sahaja
6. Pasar Kurma - pergi sendiri

Masjid Quba




Masjid Quba yang merupakan masjid pertama didirikan. Kalau datang sini  lepas solat sunat, kena cuba makan kurma muda atau separuh masak yang segar yang sedap. Rugi rasanya beli sikit aje. Sebab di Mekah rasanya takde orang jual

Ni lah kurma tu. Buahnya besar besar dan kena simpan tempat beku. Kalau biar kat luar pon ok aje cuma buah akan jadi lembut. Rasanya tak semanis kurma yang biasa kita makan. Ngam ngam aje manisnya. Satu jenis lagi yang kecil dan berwarna cerah. Yang tu pon sedap






Jualan di Masjid Quba


Memori bersama jemaah Imtiyaz di Masjid Quba

Ladang Kurma

Takde langsung buah di pokok masa ini. Tapi jualan kurma tetap ada bagi yang ingin membeli untuk di bawa pulang

Suasana dalam kedai di ladang kurma


Dalam bas menuju ke Bukit Uhud


Bukit Uhud

Bukit Uhud mengimbas kembali suasana peperangan Uhud yang bersejarah. Melihat dan menyaksikan sendiri makam para syuhada menimbulkan perasaan sayu tentang betapa hebatnya semangat dan iman mereka dalam memperjuangkan islam sehingga mengorbankan nyawa sendiri. Begitu juga hati rasa tersentuh ketika memanjat Bukit Pemanah.




Depan makam para syuhada Perang Uhud


Makam tanpa nisan para syuhada

Berbagai jualan ada di sekitar Bukut Uhud ni



View Bukit Uhud dari atas Bukit Pemanah

Masjid Qiblatain




Pasar Kurma


Pagi Khamis hari ke 3. Ni kat pasar kurma...depa tiga beranak ikut sedara yang lain jalan kaki pegi shopping

Bersama sepupu

Kurma Nabi, kekacang, kismis dan lain lain


Bab membeli belah pulak memang suka kaum wanita di buatnya. Ada satu kedai kat dalam kompleks membeli belah yang diberitahu oleh mutawif... keluar ikut gate yang dekat menara jam dan kena turun tingkat bawah tanah. 

Jubah dia memanglah murah dari Malaysia. Ownernya Pak Arab yang boleh cakap Melayu. Dia punya skill dan layanan memang manis macam gula. Ustaz pun siap-siap bagi nasihat sapa nak shopping mesti kat Madinah sebab kat Mekah nanti nak concentrate ibadah Umrah.



Petang Khamis. Menara jam depan Masjid Nabawi...masa ni tengah jalan kaki nak pegi kedai jubah 

Briefing malam terakhir oleh Ust Panwi sebelum bertolak ke Mekah keesokan harinya

Jumaat. Hari terakhir di Madinah. View dari depan Raudah di Masjid Nabawi. Sebelah kanannya terletak perkuburan Baqi'



Habis aje solat dan makan tengahari, semua jemaah cepat cepat ke bilik untuk memakai pakaian ihram dan berwuduk siap-siap. Kemudian angkat beg ke lobi dan terus ke bas sebab masa untuk berangkat ke Kota Mekah sudah tiba.

Berjalan nak balik ke hotel dari masjid... memang sesak betul rupanya lepas solat Jumaat


Madinah......kota yang akan kami ucapkan selamat tinggal sebentar lagi. Kota yang dipenuhi dengan keberkatan dan rahmat. Inilah tempat yang hampir semua penduduknya menerima syiar islam dengan penuh bersemangat  ketika penduduk  kota Mekah sendiri menolak syiar agung ini. 
Kota ini pada zaman Rasulullah dipenuhi orang-orang soleh yang sanggup mengorbankan apa sahaja demi islam. Tempat penuh kedamaian ini memang menakjubkan. Segala puji bagi Mu Ya Allah yang telah mentakdirkan kami berpeluang menjejakkan kaki ke bumi yang penuh keberkatan ini. Semoga kami berpeluang untuk sampai ke sini lagi di masa akan datang. Amin...    
  

No comments: