Thursday, October 17, 2013

Perihal penggunaan alatan memasak, makanan dan minuman bila di rantauan (Non Muslim Country)- Dari Segi Hukum


Kredit to blog Hukum Hakam

Jika peralatan memasak tersebut pernah digunakan untuk memasak bahan yang ada bercampur dengan babi dan seumpamanya yang terdiri dari benda najis. Maka peralatan tersebut wajib dibasuh. Setelah itu peralatan tersebut boleh digunakan tanpa was-was. Dalil dalam perkara ini adalah hadis dari Abi Tha’labah al-Khusyaniy yang terdapat di dalam al-Bukhari dan Muslim, ketika para sahabat bertanya:

يا رسول الله، إنا بأرض قوم أهل كتاب أفنأكل في آنيتهم؟

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berada di negeri Ahli Kitab, apakah boleh kami makan menggunakan peralatan mereka?” Jawab baginda Nabi SAW:

إذا وجدتم غيرها فلا تأكلوا، وإذا لم تجدوا فاغسلوها، وكلوا فيها.Maksudnya: “Jika kamu semua dapati yang lain maka jangan kamu semua makan dengannya. Dan jika kamu semua tidak dapati yang lain, maka basuhlah ia dan makanlah dengannya.”

Al-Imam al-Nawawi berkata yang dimaksudkan dengan bekas di dalam hadis Tha’labah ini ialah bekas yang digunakan untuk memasak daging babi dan bekas yang digunakan untuk meminum khamar seperti yang dinyatakan dengan jelas di dalam hadis riwayat Abu Daud:

إنا نجاور أهل الكتاب وهم يطبخون في قدورهم الخنزير، ويشربون في آنيتهم الخمر؟

Maksudnya: “Sesungguhnya kamu berjiran dengan Ahli Kitab, mereka memasak babi di dalam bekas-bekas makanan mereka, dan meminum khamar?” lalu baginda memberi jawapan seperti jawapan sebelum ini.

Adapun berkaitan apakah perlu disamak bekas makanan tersebut? Pandangan yang lebih benar ialah kenajisan babi TIDAK PERLU disamak bahkan memadai dengan membasuhnya sekali dengan air yang mutlak. Tidak perlu juga menyamak mulut. Hal ini kerana tidak terdapat di dalam al-Quran dan al-Sunnah hukum menyamak untuk babi. Sebaliknya sebahagian ulama yang berpandangan perlu samak untuk babi, mereka hanya mengambil jalan kiyas kepada hukum anjing. Kerana itu al-Imam al-Nawawi, seorang tokoh besar mazhab al-Syafie ketika membicarakan persoalan kenajisan anjing di dalam Syarah Sahih Muslm berkata:

واعلم أن الراجح من حيث الدليل أنه يكفي غسلة واحدة بلا تراب ، وبه قال أكثر العلماء الذين قالوا بنجاسة الخنزير. وهذا هو المختار ; لأن الأصل عدم الوجوب حتى يرد الشرع ، لا سيما في هذه المسألة المبنية على التعبد

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa yang rajih dari sudut dalil, (jilatan/kenajisan babi) memadai dengan sekali basuhan tanpa perlu tanah. Inilah pandangan kebanyakan ulama yang berkata tentang kenajisan babi. Inilah pandangan yang terpilih. Hal ini kerana hukum asal ialah tidak wajib (samak) sehinggalah ada bukti dari syara’, terutama dalam persoalan seperti ini yang dibina di atas dasar menjadikan ibadah.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 2/604)

Ulasan aku:

Perkara ni dah lama aku tahu tapi baru sekarang terasa nak cari hukum hakam yang lengkap berserta dalil-dalilnya sekali. Sebabnya aku rasa hairan sikit tengok gigihnya sesetengah orang tu menyamak segala macam pinggan dan periuk belanga bila pergi obesi. Sedangkan bekas yang telah diketahui digunakan untuk masak babi pun cuma perlu basuh, apatah lagi bila sampai apartment terlihat bekas-bekas tersusun bersih yang sama sekali tidak diketahui pernah diguna untuk masak babi??


Wallahualam.

2 comments:

yahya ismail said...

Facebook Mufti Wilayah pun dah menerangkan dengan jelas.....Islam itu tidak membebankan

am said...

Betul tu Yahya.