Tuesday, July 18, 2017

Umrah 2017 : Madinah-Mekah-Jeddah

3 - 10 Februari 2017

Bas bergerak lancar menuju Mekah. Sampai masa untuk berniat umrah, bas cuma  berhenti sebentar sahaja di Bir Ali dan tidak masuk ke kawasan masjid kerana keadaan masjid dan parking bas yang sesak.

 
Miqat Umrah Bir Ali 


Lepas berniat umrah, perjalanan di sambung semula.  Kelihatan suasana padang pasir yang bebukit bukau dan berbatu di kiri kanan bas. Terlintas di hati alangkah jauhnya dan hebatnya hijrah Rasulullah melalui laluan yang sesukar ini dengan berjalan kaki. Semuanya kerana Islam.

Alangkah ruginya kita yang menerima islam secara mudah ini menjadi muslim yang ala kadar sahaja, beribadah sambil lewa, bermaksiat, suka berhibur dan membuang masa dengan sia-sia.






Bas berhenti seketika di R&R untuk solat dan makan. Perjalanan ini mengambil masa selama 5 Jam. Suasana agak sejuk dan orang agak ramai di tempat rehat ini.
 R&R
Kami tiba di Mekah agak lewat juga. Kali ini kami ditempatkan di hotel Loloat Azhar. Berbanding dengan hotel di Madinah, hotel ini lebih jauh lagi dari Masjidil haram iaitu kira-kira 650M. Untuk ke Masjidil Haram lebih kurang 15 minit berjalan kaki. 

Tapi bagi sesiapa yang tak berapa larat nak berjalan, ada banyak teksi untuk berulang-alik ke Masjidil Haram. Harga tambang teksi ikut masa dan boleh dirunding. Kalau nasib baik satu teksi 4 orang boleh dapat 10 Riyal. Kalau waktu puncak lebih sikit la. 


Satu bilik ada 4 katil. Ada bilik siap kabinet dapur dan sinki tapi tak boleh digunakan. Untuk kegunaan Jemaah haji dulu agaknya

Selepas makan malam dan berehat sebentar kami pun dibawa ke Masjidil Haram untuk melaksanakan ibadah Umrah. Alhamdulillah dah agak tengah malam macam ini orang pun tidak begitu ramai, jadi senanglah untuk melaksanakan tawaf. Aku bertawaf dengan Haikal dan Nora dengan Nabila. Sekejap sahaja untuk menghabiskan 7 pusingan yang di mulakan dari belakang  lampu hijau.

Suasana sekeliling Kaabah memang terang benderang dan Kaabah kelihatan menakjubkan berdiri megah di tengah-tengah ribuan umat yang datang ke sini semata-mata menyahut panggilan  dan mengharapkan keredhaan Allah.

Memang mengkagumkan kerana dapat melihat sendiri bangunan yang didirikan oleh Nabi Allah Ibrahim dan Ismail ini yang selama ini menjadi arah kiblat solat kini berada di hadapan mata.

Selesai tawaf dan solat sunat serta minum air zam zam, kami sekeluarga berkumpul depan pintu masuk tadi dan menuju ke tempat permulaan saie pula. Masa ini ahli group Imtiyaz yang lain dah terpisah, tapi tak masalah kerana ada banyak penunjuk arah, tambahan pula ada keluarga kakak ipar aku yang memang expert kerana telah berkali-kali mengerjakan umrah.

Saie memang mencabar sebab jarak perjalanan total adalah 3.5 km (0.5km dari Safa ke Marwah total 7 pusingan). Depa tiga beranak aku suruh tinggalkan aje aku yang kurang mampu nak jalan laju-laju (maklumlah dah tua-tua ni stamina pun kurang).

Sesekali aku berhenti minum air zam-zam bila terasa dahaga dan duduk sebentar bila letih atau lenguh lutut. Paling penting kena pastikan di mana tempat berhenti tadi sebab wajib bermula dari tempat yang sama lepas habis rehat.  


Rehat sebentar memulihkan tenaga semasa saie

Alhamdulillah dapat aku melaksanakan 7 pusingan ini dengan sempurna dan diakhiri dengan bercukur/menggunting rambut. Sampai di hentian terakhir, depa semua dah sudah dan menunggu aku. Semoga kami semua mendapat umrah yang Mabrur. Amin Ya Allah
Semuanya selesai ketika dah nak dekat solat Subuh. Jadi rehat sebentar sementara menunggu solat subuh secara berjemaah. Sedap sungguh bacaan imam solat subuh dan macam di Madinah tiada doa qunut atau doa lepas solat. Maka kita yang dah biasa berdoa lepas solat ni, berdoalah secara sendiri.

Lagi satu seperti juga di Madinah, setiap lepas solat mesti ada solat jenazah, tak pernah miss walaupun satu waktu. 


Dataran Masjidil Haram



Ada banyak merpati kat sini.....ramai yang dok bagi makan
                                         
                                                Dalam Masjidil Haram

                                            


Bahagian atas masjid



Melihat sendiri menara jam di depan mata nampak indah pulak. Lagi lagi kalau tersalah arah, perhatikan sahaja menara ni, pasti dapat membantu kembali ke hotel semula.

Laluan dari hotel ke Masjidil Haram. Sesiapa yang ingin bersedekah kepada pekerja membersih jalan, mereka sentiasa ada sepanjang laluan ini

Aiskrim favourite

Macam hotel kat Madinah jugak makanan yang disediakan memang sentiasa lebih. Rasa makananya sederhana ikut selera Indonesia. Hotel ni nampaknya dikuasai oleh jemaah dari Indonesia.
Oleh kerana musim sejuk, maka bulan Februari macam sekarang waktu solat jadi rapat-rapat. Macam tak begitu berbaloi sekejap ke hotel, sekejap datang semula ke masjid. Jadi biasanya kami marathon duduk dalam masjid dari asar sampai Isyak dan sekali dari Zohor sampai Isyak.

Kalau lapar keluar aje depan Masjidil Haram ada banyak kedai makan, cuma janganlah menaruh harapan rasa makanannya sesedap di Malaysia kerana selera arab ni lain macam sikit. Kurang garam dan kurang gula memang perkara biasa.

Ziarah Luar

Program 2 kali ziarah pula adalah seperti berikut :
  1. Padang arafah
  2. Mudzalifah
  3. Mina
  4. Miqat Jaranah untuk umrah ke 2
  5. Jabal Thur, Jabal Nur dan Jabal Rahmah
  6. Ladang Unta
  7. Miqat Hudaibiyah untuk umrah ke 3
  8. Muzium dua tanah haram



 Ladang Unta. Syukur dapat melawat ladang unta ni kerana menurut mutawif beberapa minggu sebelum ni tidak di benarkan melawat


Membeli susu unta... 2 riyal sebotol



Rasa susu unta ni lebih kurang aje dengan susu lembu


Di hadapan Muzium dua Tanah Haram yang mempamerkan barang-barang bersejarah dari Masjid Mekah dan Madinah


Menurut mutawif bekas pintu Kaabah ini diperbuat daripada emas


Penutup telaga zam-zam yang dulu


Jabal Thur

Jabal Rahmah

Atas Jabal Rahmah bersama Paklangnya


Makan tengahari di luar ketika hari duduk di masjid dari waktu Zohor sampai Isyak



Cucu dan nenek

Dataran Kaabah ni kalau nampak dari atas Masjidil Haram macam sesak teruk, tapi bila turun sendiri ke bawah tak sesak mana pun dan sentiasa ada ruang untuk mengerjakan tawaf



Selamat tinggal Kota Suci Mekah

Akhirnya setelah 6 hari berada di Mekah, maka sampai masa untuk melaksanakan Tawaf Widak (berpakaian biasa) dan mengucapkan selamat tinggal kepada Tanah Suci Mekah. Syukur Alhamdulillah berkesempatan mengerjakan ibadah umrah tanpa sebarang halangan.
Tengahari selepas makan, bas pun bertolak ke Jeddah dan perjalanan mengambil masa 2 jam. Lama jugak kena menunggu di airport kerana menurut Mutawif memang diarahkan pihak berkuasa untuk berada lebih awal di sana. Urusan imigresen agak mudah dan tiada sangkut-sangkut. Alhamdulillah.



Unik...macam nasi impit pun ada

Sekali lagi menaiki pesawat Air Sri Lankan. Transit sebentar di Colombo kira-kira sejam sahaja. Urusan Imigresen lebih mudah sebab tak keluar dari airport. 

Sampai di KLIA semua Jemaah dibekalkan 5-liter air Zam Zam setiap seorang. Oleh kerana kami berempat maka dapatlah 20 liter. Tidak membuang masa kami mengambil ERL ke Putrajaya Sentral semula.

Syukurlah kereta dapat dihidupkan dengan mudah dan bayaran parking RM72 kalau tak silap aku. Kena ingat untuk bawak duit RM10 dan duit RM1 kerana mesin automatiknya tidak menerima wang 20 atau 50.
Selesai semua kami terus bertolak ke Permatang Pauh untuk menghantar Nabila ke UITM. Terasa keletihannya memandu sejauh ini selepas mengharungi flight beberapa jam. Sampai aku kena berhenti tidur dan mandi di R&R untuk melegakan badan.
Kami tiba di Permatang Pauh sudah malam. Makan dahulu di Faiz station kegemaran sekeluarga. Ikan siakap masak masam manis dan tomyam gongnya memang sedap. Dah kenyang terus check in Hotel Seri Pauh untuk semalam.

Esoknya selepas menghantar Nabila kami bergerak ke Manjung. Maka berakhirlah kembara Umrah 2017 kami. Segala puji-pujian bagi Mu Ya Allah yang telah memudahkan perjalanan Umrah kami ini.