Friday, February 21, 2014

Renungan Jumaat : Ghibah dan mengumpat


Asbaath dari Assuddi berkata: "Ketika Salman Alfarisi bersama para sahabat yang di antara mereka juga ada Umar r.a. dalam perjalanan, tiba-tiba mereka berhenti dan berkhemah, maka tidurlah Salaman sedang para sahabatnya ada yang memasak, lalu ada beberapa orang berkata: "Apakah maksud hamba ini, hanya mahu datang kekhemah yang sudah didirikan dan makanan yang sudah siap?" Kemudian mereka berkata kepada Salman: "Pergilah engkau kepada Nabi Muhammad s.a.w. minta lauk pauk untuk kami."

Maka pergilah Salman menyampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. permintaan mereka. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda kepada Salman: "Beritahulah kepada mereka bahawa mereka telah makan lauk pauk."

Maka kembalilah Salman kepada kawan-kawannya dan memberitahu apa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Lalu mereka berkata: "Kami belum makan apa-apa." Salman berkata: "Nabi Muhammad s.a.w. tidak berdusta dalam sabdanya." lalu dikatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w.:"Kamu telah makan daging saudaramu ketika kamu membicarakan (ghibah) padanya diwaktu ia sedang tidur." Lalu Nabi Muhammad s.a.w. membacakan Surah Alhujuraat ayat 12 (Yang berbunyi): 

 (Yang bermaksud): "Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakkan sangka-sangka, sebab sebahagian dari sangka-sangka itu dosa. Dan jangan menyelidiki kesalahan orang lain dan jangan ghibah (membicarakan hal orang lain) setengahmu pada setengahnya, apakah suka salah satu sekiranya makan daging saudara yang telah mati, tentu kamu jijik (tidak suka)."

Ulasanku

Zaman internet ini mengumpat jadi lebih mudah malah mengumpat secara berkumpulan sudah menjadi kebiasaan. Dalam facebook dan lain-lain media ada saja orang mengeluarkan satu tajuk atau ketidakpuasan hatinya terhadap orang yang tidak disenanginya. Benda berdosa macam ini, sekejap aje ramai yang memberi komen, mengumpat dan mengutuk sekalipun dia langsung tidak tahu hujung pangkal malah tidak kenal pun orang yang diumpat.

Begitulah sukarnya memelihara lidah dan perkataan serta penulisan pada zaman ini sedangkan di dalam hadis sahih riwayat Bukhari Nabi SAW bersabda kepada Mu'az bin Jabal sambil memegang lidahnya yang bermaksud : "Engkau wajib menahan ini. Maka aku berkata, ya Rasulullah, kami sentiasa mengotakan apa yang kami kata. Nabi berkata, 'ibumu telah kehilangan engkau, wahai Mu'az. Bukanlah manusia di campakkankan muka mereka ke dalam neraka disebabkan angkara lidah mereka?". (Hadis Riwayat Bukhari).

Semoga kita semua dijauhi dari perbuatan yang amat merugikan ini. Amin

No comments: