Wednesday, July 28, 2010

Kenangan Terindah Part 3


Walaupun ada orang kata buat apa mengenang masa lalu, pandanglah ke hadapan...tapi bagi aku mengenang masa lalu adalah satu yang sangat menyeronokkan. Ianya membuka lembaran saat-saat bahagia yang telah dilalui.

Itulah zaman yang tidak perlu risau pasal segala macam masalah kehidupan, harga minyak atau kenaikan tol, tentang harga gula, kejatuhan matawang atau kad kredit dan hutang yang tak berbayar. Tambahan pula mana tahu bila aku sudah tiada lagi, anak anak aku boleh mengetahui sikit sebanyak tentang kehidupan ayah mereka pada masa lampau.
Semuanya kerana sama sekali tidak disangka kehidupan orang melayu akan berubah dengan begitu drastik hanya dalam masa 30 tahun sahaja……perubahan ini bukan saja merenggut cara hidup yang lazimnya sederhana dan tulus ikhlas malahan jugak nilai-nilai baik yang ada pada orang melayu sehingga wujudlah melayu baru…..yang aku tidak pasti lagi bagaimana kelakuannya...

Kampung aku Matang Kerian ni hampir kesemuanya adik beradik. Maka sebarang aktiviti biasanya dilakukan secara berkumpulan, termasuklah menekut burung wak-wak atau ruak-ruak ini. Macamana cara menekut burung itu? Alatan yang diperlukan ialah sejenis trompet yang diperbuat daripada buluh dan jala. Jala direntang di kawasan padang berdekatan hutan yang biasanya diketahui banyak burung wak-wak yang nak dijadikan mangsa ni. Siapa yang tak pernah tengok burung wak-wak ni, ianya agak kurus dan berkaki panjang.

Sungguhpun demikian, rasanya bila dibuat masak kicap atau goreng kunyit...mmmmphhhh...Maklumlah zaman tu nak makan ayam pun susah….special hanya bila nak raya atau bila teringin sangat nak makan barulah merasa makan ayam tu. Aktiviti ini dibuat biasanya pada sebelah malam sampai ke larut malam.

Biasanya hanya seorang yang akan menggunakan trompet buluh ni (rasanya Amir boleh tahu apa nama trompet ni) dengan meniupnya untuk menarik perhatian burung-burung. Toksu Cik Amat adalah antara pakar kami dalam meniup trompet ni. Burung wak-wak yang kurang pandai ni menyangkakan kawannya yang memanggil mereka….maka pakat ramai-ramailah depa menerpa ke arah bunyi tersebut lalu terperangkaplah di dalam jala yang telah direntang. Maka beramai-ramailah kami (aku cuma pernah tolong tangkap 2 ekor saja rasa-rasanya sebab kecik lagi) yang telah bersedia menangkap burung-burung tadi dan cepat-cepat dimasukkan ke dalam rajut atau guni. Kalau nasib baik sampai beratus-ratus ekor burung boleh dapat dalam semalaman. Esoknya makan sedaplah!!!.

Sekarang ni bila aku balik kampong, aku tengok banyaknya burung wak-wak merayau-rayau tak de sapa nak tangkap dia……..aku rasa populasinya sudah semakin besar kerana kami semua dah tak menekut burung lagi. Kalau ada peluang aku nak cerita pasal mencari kerang dan lokan pulak……ni pun aktiviti best jugak.

No comments: